Oleh: Hj Halidan bin Md Daud
Sudah beberapa kali tidak dapat menyertai program ‘Ziarah Pesakit Hospital’, pada hari Ahad, 9hb Mei 2009, saya telah dapat menyertai program ziarah sempena ‘Hari Ibu’. Sebelum ini Nadwah diberitahu ada satu kumpulan akan mengadakan ziarah pada hari tersebut, oleh itu Nadwah perlu menjadualkan semula jadual ziarahnya supaya dapat turut hadir sebagai wakil NGO Islam. Kumpulan sukarelawan Muslimat yang menziarahi wad perempuan terserempak dengan kumpulan sukarelawan berkenaan yang membawa bunga ros untuk diagihkan kepada pesakit. Sukarelawan Nadwah (lelaki dan perempuan) membawa sedikit ‘goodies’(ala kadar) dan risalah.
Bagaimanapun, bagi wad lelaki, tiada kumpulan lain yang mengadakan program pada ketika itu. Penerimaan terhadap kunjungan Nadwah pada umumnya amat disenangi pesakit terutamanya yang terlantar keseorangan. Walaupun cukup senang menerima cenderahati kecil, tapi yang penting dapat berbual-bual, mengadu hal, mengadu kepayahan. Bagi saya yang dikurniakan kesihatan buat masa ini oleh Allah SWT, amat memberikan keinsafan.
Mendekati seorang pesakit yang mungkin kepanasan, tidak berbaju, saya tertarik kepada dua lukisan ’tatoo’ di badannya. Kali pertama saya teringatkan mungkin pesakit dari Sabah atau Sarawak yang bukan beragama Islam. Tetapi di sebelahnya seorang wanita yang memakai tudung. Rupanya yang menemani itu adalah ibunya, sudah hampir sebulan tidak pernah pulang ke rumah, perkampungan hampir 200km dari bandar Kuantan. Seminit dua berlalu, saya menghampiri sedikit kepada pesakit lalu menyapanya;
Saya : Apa khabar?
Pesakit : baik .... (dengan suara yang sangat lemah)
Saya : ...nanti kalau sihat sikit buanglah lukisan tu
Pesakit : (angguk)
Saya : boleh buang ke?
Pesakit : boleh (suara hampir tak didengari)
Saya : macam mana nak buang?
Pesakit : guna ‘laser’
Saya : kat mana
Pesakit : kat sini (hospital) pun ada
Saya : berapa bayaran
Pesakit : (geleng kepala)
Saya : kat mana buat (lukis tatoo) benda ni
Pesakit : kat pusat .... Pusat Serenti
Saya : sakit apa ni, AID ke
Pesakit : (angguk) HIV
Saya : (terdiam, tak terkata) .... kena banyak sabar, ingat akan Tuhan
Pesakit : (angguk)
Selanjutnya saya berpesan supaya tunaikanlah solat dan ikutilah panduan ibadah yang diedarkan.
Pengajaran yang cukup bermakna yang dapat saya kongsi; pertamanya bagaimana pengorbanan seorang ibu. Semasa kecil kita ditatang. Betapa di hujung kehidupan ibu tetap setia menemani dan menjaga walaupun anak telah menjadi sampah masyarakat. Kedua, betapa sukar dan azabnya untuk kembali ke pangkal jalan apabila sudah sampai ke kemuncak keingkaran kepada Allah SWT.
Berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan sukarelawan yang telah beberapa kali mengikuti program ziarah pesakit sejak tahun 2007, beberapa saranan yang cukup bermakna dan praktikal diharap boleh digembleng, antaranya ;
1) menubuhkan skuad ‘on-call’ membantu pesakit yang nazak yang tidak mempunyai saudara mara.
2) peserta ziarah memberikan masa yang lebih sambil membacakan ayat-ayat Al-Quran di samping pesakit-pesakit uzur yang keseorangan (ini lebih memberi kesan berbanding memberikan barang makanan, menurut sahabat yang telah beberapa kali mengikuti program ini).
3) olahkan panduan solat dan panduan doa yang lebih mudah dan ringkas untuk edaran.
Akhirnya, saya berpesan untuk diri saya dan rakan-rakan; bersyukurlah dengan kesihatan yang dikurniakan oleh Allah dan perbanyakkan ibadah serta berbuat kebajikanlah sementara badan sihat.